Tuesday, November 18, 2008




Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Intai kami antara Nampak,
Esok jangan layu-layuan

Isteri : Kanda
kenapa harus kanda pergi
Tinggalkan dinda seorang diri
Menjeruk rasa menanggung rindu,
Menahan tangis bergenang juga,
Tidakkah kanda kasihankan dinda?
Sepi seorang tiada berteman.

Suami : Wahai dinda yang kukasihi
Bukan niat meninggalkan mu,
Tapi tugas sedang menanti,
Memikul amanah menjelaskan tanggungjawab,
Agar hidup lebih bermaruah,
Supaya impian terlaksana jua,


Anak cina memasang lukah,
Lukah dipasang di tanjung jati,
Di dalam hati tidak ku lupa,
Sebagai rambut bersimpul mati.


Isteri ; Jika demikian kata kanda
Dinda harus berdiam diri
Biarpun hati meronta-ronta,
Menahan sebak di tinggal pergi,
Namun kasih ku ikutkan jua
Tinggalkan kasih pergilah sayang.

Suami : Sukarnya kaki melangkah pergi,
Meninggalkan dinda begini rupa,
Cekalkan hati kulalui jua,
Kerana kupasti kasihmu sayang,
Biarpun jauh beribu batu,
Namun hatimu dan hatiku
tetap akan bersimpul mati,

Batang selasih permainan budak,
Daun selasih di makan kuda,
Bercerai kasih bertalak tidak,
Seribu tahun kembali jua,

Isteri : Wahai kandaku,
Mengapa sepi mendiam diri,
Aku terpenjara merindui mu
Terasa pahit bagai hempedu,
Tatkala diri mengenangkan mu.

Suami : Wahai dinda isteriku.
Aku teramat rindukan mu,
Kusangka bahagia di sini,
Rupanya hati tidak begitu,
Kerana dirimu jua yang ku dambakan

Isteri : kalau demikian kata kekanda,
Pulanglah sayang wahai pujaan.
Kerana dinda merinduimu.

Burung merpati terbang seribu,
Hinggap seekor di tengah lama,
Hendak mati di hujung kuku,
Hendak berkubur di tapak tangan,

Isteri ; Wahai kekandaku,
Kenapa malam ku kian kelam,
Kulihat bulan cahayanya malap,
Kulihat bintang sinarnya kurang,
Namun ku tetap menatapnya,
Kerana ku pasti,
Kandapun begitu.

Suami : Wahai intan penawar hatiku,
Kanda juga seperti mu,
Menatap awan melindungi bulan,
Melihat bintang cahayanya sepi,
Terasa hati bagai dihiris,
Terasa malam tiada indahnya
Bila dinda tiada di sisi,

Kalau tuan mudik ke hulu,
Carikan saya bunga kemboja,
Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya dipintu syurga,


Isteri : Duhai kasihku sayang,
Kenapa bulan masih menyembunyikan diri,
Kenapa malamku semakin kelam,
Aku terasa sunyi dan sepi,
Biarpun sang unggas berlagu riang,


Suami: Dinda ;
Kanda juga merasai,
Betapa pahit berpisah begini,
Seperti hati diseru-seru,
Ingatkan dinda rindukan sayang


Isteri :Kanda,
Kutabur bunga menghiasi laman,
Kusiram ia dengan wangian,
Kerana ku pasti dirimu sayang,
Akan kembali kepada diriku.

1 comment:

Mezain said...

Lagu lama yang sangat saya minati..Lirik yang penuh makna untuk pasangan yg sedang berkasih kasihan...tengah berkasihan ke ...hehe