Friday, July 24, 2009

Berkas rindu




Dalam sepi
Bertandang satu rasa
Sungguh asing
Mengulit jiwa
Penuh kerinduan

Rindu itu sungguh aneh
Kerana empunya diri tidak diketahui
Wajah tanpa suara
Dilihat tapi tidak kelihatan
Menyentuh setiap rasa
Biar berkali terguris
Dengan janji tidak kesampaian

Namun diri masih begini
Menilik dan mencari
Siapa kamu
Memberi berkas rindu
Yang tak bisa disisihkan

Saturday, July 4, 2009




Apabila aku mendengar lagu camelia dan menghayati liriknya, hati ini seakan tersentuh, sedih dan pilu. Apalah nasib perempuan itu setelah ditinggalkan, segalanya telah musnah. Kemana arah tuju dia selepas ini. Adakah dia akan berjumpa jalan yang lebih baik atau terus berjumpa dengan lelaki hidung belang dan seterusnya menjalani kehidupan yang sama.

Aku sendiri tidak faham dengan kaum Adam. Bagaimana dia sanggup meniduri perempuan sedangkan dia tahu dia tak mungkin mengangkat darjat perempuan itu sebagai isteri. Apalah maksud wanita hebat difikirannya. Atau hebat yang dimaksudkan itu ialah pelacur hebat. Wallah ulam, hanya mereka yang tahu.

Kaum Adam dijadikan sebagai pelindung wanita dan meminta kehadiran wanita disaat sepinya bila bersendirian di syurga. Terciptalah wanita dari tulang rusuk mereka. Tidakkah mereka seperti mematahkan tulang rusuk sendiri bila menganiaya kaum wanita?. Atau sememangnya hati mereka terlalu keras sehingga tidak dapat merasai kesakitan lagi.

Aku percaya masyarakat akan berkata wanita itu yang bodoh sanggup mengikut lelaki itu. Tetapi terfikirkah mereka siapa yang mendorong ke arah itu?. Wanita tidak semudah itu untuk mengikut lelaki tanpa tawaran tertentu. Jiwa wanita yang halus itu pula sering terperangkap dengan kemanisan mulut lelaki. Jadilah perkara-perkara yang terlalu banyak kini berlaku.

Bagiku untuk menyalahkan wanita itu 100% adalah tidak berperikemanusiaan. Dirinya sendiri telah terlalu kasihan. Disakiti, ditinggalkan dan dihina, dan lelaki itu dengan mudah melangkah pergi tanpa ada rasa bersalah sambil berkata cepat lupakan aku nanti teman wanita aku tahu. Wah! Semudah itu dia berkata. Jika sudah tahu di hati telah ada teman wanita lain kenapa menawar yang bukan2 kepada wanita lain atau berniat untuk mencari teman wanita lain. Bukankah itu namanya penipu atau lelaki memang sinonim dengan perkataan penipu. Entahlah, aku sendiri tidak faham. Aku akur masih wujud lelaki yang baik di dunia ini, tetapi berapa peratuskah ia?. Apakah wanita akan terus meletakkan dirinya dalam risiko yang begitu tinggi, kerana aku tahu lelaki yang sedemikian peratusnya lebih tinggi.

Kepada adik2 ku dan siapa jua yang bernama wanita berfikirlah dengan sewarasnya sebelum bertindak. Kalau mendapat tawaran yang menjengkelkan tinggalkanlah, kerana lelaki yang sanggup meniduri wanita sebelum mengangat darjat perempuan itu sebagai isteri adalah lelaki yang tidak bertanggungjawab. Mereka gagal menjaga maruah diri mereka dan berlaku curang pada diri sendiri. Sedangkan menjaga diri dari melakukan kemaksiatan adalah adalah tanggungjawab diri sendiri. Kalau diri sendiri tak boleh dipegang apalah hendak diharap pada mereka.

Jagalah diri wahai adik2ku dan wanita yang lain. Sesungguhnya masa yang berlalu tak akan kembali. Kasihilah diri sendiri lebih segalanya kerana itulah kekuatan yang ada dalam diri sendiri dan yakinlah kita bertuah kerana kita adalah kita.