Friday, April 3, 2009

Seruling rindu




Seruling itu tidaklah lama,
Namun sering mengusik nuraniku,
Tubuhmu buluh kekuningan,
Ruas berlubang 7 semua,
Menarik hati memukau perasaaan,

Kutenungmu berkali-kali,
Kerana lagu mengalun syahdu,
Bagai belati menusuk jantungku,
Mengingatimu seorang lelaki,
Tingkahmu bersopan,
Bahasamu tersusun,

Aku rindu teramat rindu,
Mata berkaca,
Hati berbicara,
Merenung awan jauh sekali,
Melihat bintang,
Cahayanya samar,

Namun,
Jelas dalam pandanganku,
Sinar matamu mencengkam sanubariku,
Kerana renungan itu,
Renungan kasih sayang,
Sentiasa memujuk hatiku yang lara,

Lagu itu berkumandang lagi,
Engkau tersenyum sambil mengangguk,
Tidak sekali engkau meningkahku,
Kerana dirimu arif tentang diriku,
Seorang wanita hatinya kosong,
Lalu kau penuhi ia dengan kasih sayang,
Kau usap ia dengan kata nasihat,
Kau pandu ia,
Dengan ilmu dan hikmah,
Kau tabur ia,
Dengan bunga-bunga kekuatan,
Kau jalinkan ia,
Dengan kemesraan dan kemanjaan,

Tiba irama berhenti seketika,
Ku lihat senyummu indah sekali,
Tanganmu rapat,
Memeluk tubuhmu,
Tubuhmu kaku nafasmu sunyi,

Aku menangis merintih sendirian,
Melepaskanmu pada yang hak,
Ku susun irama menjadi lagu,
Lagu rindu bersulamkan airmata...

----------------------------------------
28 Mac 2009,
Khas buat Allahyarham abang ku,
Sainal bin Isa ,
Yang telah kembali ke rahmatullah pada 18 Februari 2004,
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya,
Amin...