Tuesday, November 18, 2008




Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Intai kami antara Nampak,
Esok jangan layu-layuan

Isteri : Kanda
kenapa harus kanda pergi
Tinggalkan dinda seorang diri
Menjeruk rasa menanggung rindu,
Menahan tangis bergenang juga,
Tidakkah kanda kasihankan dinda?
Sepi seorang tiada berteman.

Suami : Wahai dinda yang kukasihi
Bukan niat meninggalkan mu,
Tapi tugas sedang menanti,
Memikul amanah menjelaskan tanggungjawab,
Agar hidup lebih bermaruah,
Supaya impian terlaksana jua,


Anak cina memasang lukah,
Lukah dipasang di tanjung jati,
Di dalam hati tidak ku lupa,
Sebagai rambut bersimpul mati.


Isteri ; Jika demikian kata kanda
Dinda harus berdiam diri
Biarpun hati meronta-ronta,
Menahan sebak di tinggal pergi,
Namun kasih ku ikutkan jua
Tinggalkan kasih pergilah sayang.

Suami : Sukarnya kaki melangkah pergi,
Meninggalkan dinda begini rupa,
Cekalkan hati kulalui jua,
Kerana kupasti kasihmu sayang,
Biarpun jauh beribu batu,
Namun hatimu dan hatiku
tetap akan bersimpul mati,

Batang selasih permainan budak,
Daun selasih di makan kuda,
Bercerai kasih bertalak tidak,
Seribu tahun kembali jua,

Isteri : Wahai kandaku,
Mengapa sepi mendiam diri,
Aku terpenjara merindui mu
Terasa pahit bagai hempedu,
Tatkala diri mengenangkan mu.

Suami : Wahai dinda isteriku.
Aku teramat rindukan mu,
Kusangka bahagia di sini,
Rupanya hati tidak begitu,
Kerana dirimu jua yang ku dambakan

Isteri : kalau demikian kata kekanda,
Pulanglah sayang wahai pujaan.
Kerana dinda merinduimu.

Burung merpati terbang seribu,
Hinggap seekor di tengah lama,
Hendak mati di hujung kuku,
Hendak berkubur di tapak tangan,

Isteri ; Wahai kekandaku,
Kenapa malam ku kian kelam,
Kulihat bulan cahayanya malap,
Kulihat bintang sinarnya kurang,
Namun ku tetap menatapnya,
Kerana ku pasti,
Kandapun begitu.

Suami : Wahai intan penawar hatiku,
Kanda juga seperti mu,
Menatap awan melindungi bulan,
Melihat bintang cahayanya sepi,
Terasa hati bagai dihiris,
Terasa malam tiada indahnya
Bila dinda tiada di sisi,

Kalau tuan mudik ke hulu,
Carikan saya bunga kemboja,
Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya dipintu syurga,


Isteri : Duhai kasihku sayang,
Kenapa bulan masih menyembunyikan diri,
Kenapa malamku semakin kelam,
Aku terasa sunyi dan sepi,
Biarpun sang unggas berlagu riang,


Suami: Dinda ;
Kanda juga merasai,
Betapa pahit berpisah begini,
Seperti hati diseru-seru,
Ingatkan dinda rindukan sayang


Isteri :Kanda,
Kutabur bunga menghiasi laman,
Kusiram ia dengan wangian,
Kerana ku pasti dirimu sayang,
Akan kembali kepada diriku.

Rindu

Rindu
Kau terlalu indah
Membuai perasaanku
Jauh ke dasarnya
Terawang-awang
Menyentuh segenap rasa dan ruang

Aku terbelenggu
Pada satu wajah
Senyumannya
Menggegar hati ini
Sehingga ia tidak mampu
Menahan rasa.

Satu persatu,
Kau buka kunci hati ini
Membakar kebekuan hati
Menyisih kenangan silam
Membina taman-taman indah
Mengukir senyuman kasih
Mengintai ruang kemesraan dan harapan
Asyik...

Rindu...
Andai engkau milikku,
Ku ingin pertaruhkan rasa cinta ini
Yang sekian lama membeku
Umpama salju yang berpanjangan.

Dan dihari ini
Aku mengimpikan musim bunga
Dengan keharuman dan warna warni
Menghalusinasikan perasaanku
Melempar kelukaan lalu
Bersama kasih yang semakin hampir ketemui...

Aku masih di sini

Aku melihat matahari itu,
Sinarnya masih terang,
Bahkan semakin hangat,
Sehingga bisa membakar ke dasar kulit,

Aku menjadi kaget,
Mengapa aku masih di sini,
Masih mengutip kerikil yang kutinggalkan,
Masih menjenguk jendela lama,
Sedangkan kaki terus melangkah,
Dan melangkah,
Sehingga suatu tahap,
Aku tertanya
di mana aku?
Dan kemana aku?

Lantaran ku kutip semula kerikil itu,
Ku gilapkan ia bersama hatiku,
Dan tika ini
Arus lama kembali menganas,
Aku ketakutan
Gementar,
Ku genggam kerikil itu,
Terus ku lemparkan ia
Jauh dan sungguh jauh,
Sehingga aku tidak mampu melihatnya lagi,
Terasa di pipiku,
Air mata ku deras mengalir,
Aku sendiri tidak tahu mengapa,
Dan aku terduduk,
Termanggu.
Tanpa aku sedari mengapa.

Kau yang tersendiri

Merenung ke dasar matamu
Hati ini bagai dipalu
Dibelai dengan elusan bayu
terasa syahdu mencengkam seluruh jiwa
Aku terlupa seketika...

Sirnanya tulus
Bagai deruan arus
Mengalir lembut
Mengalun bersama desiran angin
Menusuk seluruh emosi
Terpaku aku seketika
Umpama diri di dalam dakapan bonda...

Kau yang tersendiri
Dengan gayamu
Bertahta di hati ini
Menggamit rindu
Mengukir sayang
Lalu hati mula bersenandung
Mengukir impian
Menyulam harapan...

Namun aku wanita biasa
Tidak mampu mengorak langkah
Jadilah aku pemuja setia
Menanti takdir
Menemu impian...

Andai ku tahu

Andai ku tahu
Hidup ini tidak seperti yang ku dambakan
Pasti aku tidak minta lahir ke dunia
Menghuni alam yang mengharukan,
Mencengkam jiwa dan perasaan
Lantaran aku terus terbelenggu
Dengan impian yang tak sudah

Andai ku tahu
Engkau bisa merobek hati ini
Pasti aku tidak ingin memilikimu
Membenarkan engkau hadir disisi
Menyulam impian dan harapan
Lalu kau musnahkan ia
Begitu kejam
Hingga aku tidak mampu
Melihat kebaikan dari perbuatan
Maka jadilah aku
Insan berperasangka
Menutup seluruh hati dan nurani
Sehingga tidak bisa ditembus lagi
Seperti salju yang membeku
Membentuk alam yang kaku
Sejuk, dingin seumpama antartika

Andai ku tahu
Aku bisa melalui semua kelukaan ini
Pasti aku tidak akan bersungut
Atau membenci kepahitan
Akan ku telan ia
Bersama hempedu
Dengan redha di hati
Bersama syukur yang berpanjangan
Kerana aku insan terpilih
Diberi rahmat dan kasih sayang
Melihat hikmah pada kelukaan
Mengambil iktibar dari perbuatan
Dan jadilah aku wanita tabah
Sabar dan tiada gentar di hati

Dan sewajarnya
Aku tidak perlu berkeluh kesah lagi
Kerana apa yang ku miliki
Melebihi dari kehilangan
Dan di hari ini
Ku ingin menyatakan
Alhamdulillah


Monday, November 17, 2008

Salam buat semua...

Andai ku tahu maka aku tak akan pilih yang itu, andai ku tahu aku takkan pilih dia jadi teman hidupku atau andai ku tahu, aku akan ikut kau. Terlalu banyak kata-kata andai dalam hidup kita. Bermakna kita melalui hari-hari yang mendatang tanpa mengetahui apa kesudahannya. Apabila perjalanan itu telah ditempoh, ketika itulah baru kita mengetahui bahawa pilihan kita itu adalah tepat atau tidak.Seandainya pilihan itu memberi kepuasan dalam hidup kita, maka kata-kata andai itu tidak terkeluar dan sekiranya sebaliknya maka banyaklah hujah-hujah yang berkaitan andai ku tahu, begini dan begitu.

Di dalam blog ini saya akan menulis beberapa perkara tentang pengalaman saya, pemerhatian atau apa jua yang saya rasa sesuai untuk dikongsi bersama. Saya sekadar meluahkan beberapa perkara yang terbuku di hati saya. Bukan berniat untuk menyakiti hati sesiapa, sekadar menyatakan isi hati. Kadang-kala tulisan dapat memberi kelegaan kepada seseorang. Mungkin kata-kata tidak mampu terkeluar dari mulut kita, namun menulis dapat menyampaikan maksud dan hasrat hati.

Ya, saya juga seperti manusia biasa , melalui hari-hari mendatang tanpa mengetahui apakah kesudahan hidup saya. Namun saya juga telah menempuh pelbagai perkara sama ada menarik, gembira , bahagia, sedih atau terluka. Bak kata pepatah melayu Hidup mesti diterus, andai malam ini adalah malam kelam, namun esok matahari pasti menyinar jua. Jadi teruslah membaca tulisan saya ini