Wednesday, January 28, 2009

Jangan bertanya


Setiap orang mempunyai kisah silam yang tersendiri. Sama ada sedih, bahagia, menyakitkan atau apa jua, hanya mereka sahaja yang tahu. Sejarah itulah yang menjadikan siapa mereka kini. Tidak wajar bagi kita menilai siapa mereka kerana kita tidak pernah tahu apa yang mereka lalui. Andainya kita melihat perilaku yang agak kita tidak senangi pada seseorang janganlah terus kita membuat kesimpulan. Kadang-kadang apa yang kita lihat itu tidak benar.

Sekiranya anda ingin mendekati seseorang berhati-hatilah dengan kata-kata. Tidak semua perkara yang anda tanya akan dijawab atau disenangi oleh teman anda. Anda boleh bertanya banyak perkara tetapi bila bertanyakan soalan yang agak peribadi berhati-hatilah. Tidak semua orang suka soalan itu.

Kisah silam yang pedih umpama sembilu. Ia akan menyakitkan apabila dibuka semula. Bertanyakannya samalah seperti menyentuh bahagian yang paling sakit dalam hidup seseorang itu. Apabila seseorang itu mula bercerita tentang kisah itu, ia mula mengulangi kisah tersebut. Sedikit demi sedikit perkara itu melukakan hati beliau. Luka yang tinggal parut kini berdarah semula. Lebih malang lagi kalau orang itu tertinggal di zaman itu semula.

Berkongsi cerita itu adalah baik dalam proses penyembuhan tetapi janganlah kita memaksa mereka untuk bercerita. Biarkan mereka sehingga mereka telah bersedia untuk bercerita. Di kala itulah kita boleh bertanya. Sebaiknya biarlah mereka yang bercerita dan kita menjadi pendengar yang baik. Apabila mereka sudah mendapat kepercayaan kita, disaat itulah mereka akan menceritakan segalanya. Tetapi awas janganlah anda mengambil kesempatan di atas cerita yang anda dengar kerana sekali orang yang terluka disakiti semula kepercayaannya terhadap orang lain akan musnah semula. Dia akan menjadi dingin terhadap hidupnya dan orang lain.

Jadi janganlah anda terus bertanya kisah silam orang lain. Kenalilah beliau terlebih dahulu. Ambillah masa sebaiknya dan bersabar. Andainya orang itu milik anda, dia tetap akan menjadi milik anda.

No comments: