Tuesday, January 27, 2009


Cinta adalah suatu anugerah yang sangat indah .Tidak semua orang bertuah memilikinya. Ia hadir tanpa di minta dan hanya pada orang tertentu. Kehadirannya membuatkan seseorang itu merasa sangat bahagia. Hatinya dipenuhi dengan kuntum-kuntum bunga yang harum dan berkembang segar , penuh dengan kasih sayang dan kelembutan.

Namun cinta juga akan membuat seseorang itu terseksa. Sebanyak mana seseorang itu mencintai dan sebanyak itulah jua hatinya akan disakiti. Cinta dan benci adalah pasangan kembar yang saling memerlukan.Selagi ada benci dihati selagi itulah ada cinta. Andai kebencian hilang di hati maka perasaan cinta juga akan lenyap. Tidak akan ada apa jua perasaan lagi yang akan menghuni di hati. Ia menjadi kosong, lantaran itu semua yang indah menjadi asing sekali, dan di ketika itu tiada lagi harapan yang perlu disandarkan kerana tidak mungkin impian menjadi kenyataan.

Sejauh manakah hebatnya cinta memberi kesan kepada individu?. Apabila seseorang mencintai seseorang yang lain dia akan mula tidak berkira-kira dalam apa jua perlakuan. Dia akan sanggup melakukan apa sahaja untuk orang yang dicintainya. Kalau dahulu setiap pemberian diukur dengan nilai matawang, tapi kini semuanya diberi dengan penuh keikhlasan tanpa ada mengharap balasan. Kehadiran orang yang dicintai didalam hati sudah cukup memberi kebahagiaan yang tidak ternilai harganya. Memandang ke wajahnya atau berada disisinya walau tanpa bersuara sudah cukup memberi suatu kebahagiaan Pada masa itu sipecinta tidak mengharapkan apa-apa lagi.

Cinta akan menjadi bernilai harganya apabila disertakan dengan kasih-sayang dan keikhlasan.Ia juga perlu berada dalam peraturan yang ditetapkan. Akal yang bijak akan mengawal segalanya dan sebaliknya andai nafsu menguasai akan hilanglah kewarasan berfikir maka hilanglah kesucian cinta itu. Cinta dan obsesi adalah dua perkara yang sangat berbeza. Orang yang mencintai akan sanggup melakukan apa sahaja walaupun dia disakiti, tidak mengharap balasan dan akan sentiasa bahagia apabila melihat orang yang dicintai bahagia. Andai dia tidak dapat memiliki orang yang dicintai dia tetap merasa bahagia. Cukuplah baginya hanya memandang dari jauh dan merisik khabar. Apabila dia melihat orang yang dicintai itu bahagia maka dia pun sama turut bahagia.

Namun obsesi adalah sebaliknya. Ia menjadikan cinta itu begitu sakit sekali. Perasaan ingin menguasai lebih kuat dari perasaan menyayangi. Orang yang disangka mencintai akan melakukan apa sahaja untuk memiliki orang itu. Kadangkala dia terlupa untuk menyayangi, apa yang ada dipemikirannya adalah untuk mengekalkan orang yang dicintainya disisinya. Dia sanggup menyakiti pasangan dengan apa jua bentuk sama ada dari segi mental dan fizikal asalkan dia tidak meninggalkannya. Dan lebih malang lagi ada yang sanggup membunuh pasangannya demi memiliki cinta yang disangka cinta.

Cinta juga sangat unik. Tidak semua yang mencintai akan dicintai semula. Namun apabila cinta sudah hadir walau diri tidak dicintai tapi hati tetap menyayangi. Ia tetap tertinggal disitu walaupun tidak dicintai. Memandang dan memerhati melihat dan meneliti, biar diri tidak dikasihi namun hati yang mencintai tidak akan berganjak pergi. Ia akan terus menyintai tanpa mengharapkan apa-apa. Ia hidup dalam bayangan cintanya itu. Tidak bergerak dari situ biarpun musim berganti namun yang orang mencintai akan kekal disitu. Meski pada pandangan yang lain orang mencintai itu terseksa, hakikat sebenar ia bahagia dengan perasaaan cintanya.

Bertuahlah orang yang dicintai dan menyintai kerana mereka dapat menikmati cinta yang sebenar. Perasaan cinta dapat diluahkan dan diselami dalam bentuk yang mereka ingini. Bagi mereka yang memiliki cinta di sebelah pihak sahaja atau bertepuk sebelah tangan bersabarlah. Sesungguhnya musim kelam tidak selalunya kelam kerana musim bunga akan tiba jua. Andai malam bertemankan kegelapan esok pasti matahari menyinar jua.

1 comment:

Norisha0111 said...
This comment has been removed by the author.